DEMI RAKYAT :

GUNALAH OTAK, GUNALAH AKAL, GUNALAH JARI, GUNALAH PERASAN DAN GUNAKANLAH KESEMPATAN YANG ADA UNTUK MEMBUAT PERUBAHAN YANG MENGUNTUNGKAN SEMUA PIHAK DENGAN TIADA MENGUNDI UMNO-BN DALAM PRU KE-13

Saturday, August 9, 2008

BIJAKNYA UMNO MENGOTORKAN POLITIK MALAYSIA-SIRI 4 [AKHIR]

Oleh: Tun Telanai
Assalamu’alaikum wm.wrt
,


Bijak sungguh UMNO memainkan peranan mengotorkan politik di Malaysia. Para strategis UMNO melaksanakan empat strategi secara serentak untuk mengalihkan pandangan rakyat dari isu sebenar yang melibatkan kepentingan rakyat dan juga negara. Pemberian rebet petrol telah menyebabkan sebahagian rakyat melupakan hakikat sebenar penderitaan mereka yang mereka terpaksa tanggung akibat kenaikan kos belanja hidup yang tinggi dan kadar inflasi mencapai tahap melebihi 7 peratus. Kenaikan berterusan harga semua barangan dan perkhidmatan tidak boleh ditampung dengan pemberian rebet tersebut.


Perbicaraan kes pembunuhan Atantuya Shaaribu yang dikaitkan dengan Najib Tun Razak dan isteri amat menghantui pentadbiran Abdullah kerana ia melibatkan hubungan diplomatik dengan Mongolia dan negara luar khususnya Amerika Syarikat sedang memerhati bagaimana sistem keadilan di Malaysia dapat dilaksanakan oleh Abdullah. Jadi, salah satu cara untuk mengatasinya dalam jangka masa pendik ialah sengaja merancang untuk melambat-lambatkan proses membuat keputusan oleh mahkamah sehingga kekuatan politik UMNO dapat dipulihkan dan dalam tempoh tersebut diharapkan masyarakat tempatan dan antarabangsa beransur-ansur melupakannya sepertimana masyarakat masa kini di Malaysia telah melupakan kezaliman UMNO terhadap mangsa-mangsa pembunuhan beramai-ramai di Memali dan rampasan beribu hektar tanah sawah di Kerpan dengan projek udang harimau yang gagal.


Serentak itu juga, konspirasi politik ke atas Anwar Ibrahim dilaksanakan secara terancang melibatkan seorang pemuda ‘gila’ dengan tujuan melemahkan kedudukan pengaruh Anwar dan PKR yang mendapat sambutan luar biasa daripada rakyat terutama rakyat bukan Melayu dan UMNO merasakan dirinya mulai terpinggir daripada arus perdana politik negara. Serentak dengan keputusan SPR menetapkan hari penamaan calon pada 16 Ogos dan hari pembuangan undi pada 26 Ogos ini untuk pilihan raya kecil parlimen Permatang Pauh, pihak polis pula secara tergesa-gesa diarah dan dirancang menghantar notis kepada Anwar agar Anwar hadir ke mahkamah pada hari Khamis, 7 Ogos jam 10.00 pagi. Pendakwaan terhadap Anwar akan dilakukan mulai 10 September ini. Kempen pilihan raya kecil di Permatang Pauh dan perbicaraan kes Anwar di mahkamah akan dijadikan modal berkempen. Tujuannya hanya satu untuk mengelirukan pengundi-pengundi bagi mengambarkan Anwar pastinya akan didapati bersalah sepertimana yang berlaku pada 10 tahun lepas. Mesejnya jangan mengundi Anwar, undilah UMNO.


Seterusnya usaha memecahbelahkan dan melemahkan Pakatan Rakyat [PR] terus dilaksanakan. Pendekatan yang UMNO ambil ialah salah satu parti daripada tiga parti [PAS,PKR dan DAP] dalam gabungan tersebut mesti didekati dan diajak untuk berkerjasama. Di antara ketiga parti itu, parti yang dikira terbaik oleh UMNO adalah PAS kerana PAS dianggotai oleh 100 peratus Melayu-Muslim. PAS juga merupakan parti kedua terbesar selepas UMNO yang anggotanya terdiri daripada muslim dan non muslim. Keahliannya kini menjangkau melebihi 1 juta orang. Tambahan pula, PAS mempunyai networking yang gagah perkasa dan kukuh di semua peringkat di seluruh negara berbanding dengan PKR dan DAP. PKR parti multi-racial yang bertunjangkan kemelayuan Islam bercampur sosialis dan golongan ‘free thinking’. Manakala DAP juga multi-racial, tetapi ia dikuasai oleh kaum Cina. Kedua-dua unsur ini sudah pun wujud gabungan parti-parti dalam BN. Jadi, PAS menjadi pilihan UMNO.


Desas-desus mengatakan PAS mengadakan pertemuan dengan UMNO telah tercetus sebaik sahaja PRU ke-12 tamat. Dalam keadaan UMNO kalah di Semenanjung dan kembali berkuasa kerana adanya pengundi-pengundi di Sabah dan di Serawak yang sosio-politiknya masih rendah, tidak dapat membuat penilaian yang tepat,maka UMNO/BN mendapat sokongan padu daripada pengundi-pengundi kedua-dua buah negeri ini. Kesan PRU itu senantiasa menghantui UMNO kerana undi kaum Cina dan India yang menjadi penentu kalah-menang UMNO/BN selama ini telah beralih arah menyokong PR. Sementara itu dilihat kuasa politik kaum Cina semakin meningkat dan kuasa politik Melayu semakin menurun. Perkara ini berlaku kerana pengkianatan UMNO sendiri terhadap taburan pengundi-pengundi di sesuatu kawasan pilihan raya disempadankan semula pada tahun 2003. Maka para pemimpin UMNO sangat bimbang jika ini trend akan berterusan sehingga PRU ke-13, UMNO pasti akan kecundang dan hilang kuasa. UMNO mula mewar-warkan penyatuan umat Islam dan perpaduan Melayu demi kepentingan Islam itu sendiri kepada PAS.


Dalam senyap-senyap pemimpin kanan PAS termakan dengan tawaran ini. Walaupun pada mulanya mereka menafikannya termasuk Ketua Penerangannya, YB Mahfoz Omar dan malah Presidennya sendiri menafikannya dengan menyalahkan media yang suka menabur fitnah. Tiba-tiba Abdullah Ahmad Badawi pada 20 Julai lalu membuat kejutan dan berjaya menyeret perbincangan politik kepada isu muzakarah antara UMNO dengan PAS. Abdullah mendedahkan terdapat tiga pertemuan dengan pemimpin-pemimpin tertinggi PAS dengannya. Pertemuan tersebut tidak melibatkan Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Mursyidul Am PAS. Isu muzakarah ini [kemudian ditukar menjadi muqabalah] menjadi isu kebangsaan, seluruh masyarakat daripada pelbagai peringkat membicarakannya. Ramai yang tidak bersetuju muzakarah UMNO-PAS terutama ahli-ahli diperingkat akar umbi dan perpaduan dalam PR [walaupun tidak sama ideologi, tetapi mempunyai matlamat yang sama] mulai bergoncang. Pada peringkat ini UMNO berjaya dengan misinya untuk menabur benih perpecahan dalam PAS dan di antara parti-parti dalam PR.


Dalam PAS sendiri terdapat tiga golongan pemimpin. Golongan pertama dipelopori oleh Nik Aziz Nik Mat yang sama sekali tidak bersetuju PAS berkerjasama dengan UMNO kerana beliau mempunyai pengalaman pahit ketika PAS bersama dalam BN dulu. Kenangan pahit itu membuatkan para pemimpin yang berasal di negeri Kelantan menolaknya. Rupa-rupanya Nik Aziz tidak keseorangan, beliau mendapat sokongan menyeluruh daripada ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS daripada seluruh negara menentang sebarang cadangan untuk berkerjasama dengan UMNO.


Golongan kedua ialah golongan daripada pihak Presiden dan Presiden sendiri yang mahu Islam didaulatkan, tetapi pada masa yang sama golongan ini juga mahukan habuan duniawi. Kekecuhan mula berlaku. Di media arus perdana seperti Utusan Malaysia mula memperbesar-besarkan isu ini dan di internet ianya dibahas secara bebas. Ada pro dan kontranya. Sebahagian besar berpendapat, mereka menolak PAS kerjasama dengan UMNO.


Ada sebahagian ahli-ahli mencabar dan mengugut para pemimpin kanan PAS supaya menghentikan segera muzakarah tersebut, kalau tidak mereka akan keluar PAS secara beramai-ramai. Ada yang lebih berani lagi akan menganjur demontrasi besar-besaran di hadapan Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur. PAS juga mendapat kemarahan daripada penyokong-penyokong bukan Melayu yang memberi undi kepada PAS pada PRU lalu, tetapi PAS telah mengkianati sokongan tersebut. Perasaan marah rakyat terhadap PAS tidak dapat dibendung lagi. Ia terdengar di mana-mana baik di kampung-kampung terpencil sehinggalah ke pusat bandar-bandar besar di negara ini yang menentang hubungan PAS-UMNO itu.


Ketika itu, PAS seolah-olah berpecah dua. Satu golongan menyokong Nik Aziz dan satu golongan lagi memberi sokongan kepada Presiden parti. Kekecuhan ini sampai kemuncaknya memaksa Presiden dan golongannya menemui Nik Aziz. Selepas pertemuan tersebut, keadaan mulai reda apabila satu kenyataan dikeluarkan menegaskan bahawa PAS tidak akan berkerjasama dengan UMNO dan akan kekal dalam PR. PAS hanya akan melakukan muqabalah [pertemuan biasa] untuk bertukar-tukar fikiran demi kepentingan Islam dan bangsa.


Isu muzakarah atau muqabalah ini mati terus apabila satu kenyataan Presiden dikeluarkan selepas mengadakan mesyuarat khas pada 31 Julai lalu bahawa PAS menolak sebarang bentuk kerjasama dengan UMNO dan akan tetap kekal berjuang bersama-sama dengan PR dan PAS bersedia berbincang dengan semua pihak demi kepentingan negara dan ummah. Mesyuarat itu hanya formulaliti sahaja. http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=16109&Itemid=115].


Tanpa mesyuarat khas pun, Presiden terpaksa akur dengan kehendak majoriti ahli. PAS yang dipimpinnya menghadapi tekanan arus bawahan yang maha deras yang boleh merubuhkan benteng pertahanan PAS itu sendiri, di samping itu beliau juga menerima tekanan daripada rakan sejawatnya dalam PAS sendiri terutamanya tentangan daripada Nik Aziz. Pokok yang besar, kuat dan teguh bergantung kepada kekuatan akar dan tunjangnya. Sekiranya akar dan tunjang itu rosak dimakan anai-anai, maka pokok itu akan tumbang menyembah bumi.


Walau bagaimana pun, UMNO telah berjaya mencapai matlamatnya untuk mengharubirukan ahli-ahli dan mengkelamkabutkan pejalanan PR. UMNO sendiri dari awal lagi menyedari hakikat ini bahawa ahli-ahli PAS tidak akan merestui PAS berkerjasama dengan UMNO, tetapi ia tetap meneruskan strategi tersebut bagi mengalihkan pandangan rakyat buat sementara waktu daripada isu sebenar yang sedang melanda UMNO.


Golongan ketiga ialah golongan penumpang yang kini berada dalam zon selesa seperti golongan yang diwakili oleh Menteri Besar Kedah. Mereka ini tidak berani mengeluarkan sebarang kenyataan takut ia bercanggah dengan kepimpinan atasan. Mereka akan mencari sudut-sudut yang selamat demi menjaga kedudukan masing-masing. MB Kedah contohnya, hanya berani mengeluarkan kenyataan yang boleh dianggap kebudak-budakkan mengatakan bahawa perjalanan politik di Kedah di antara PAS-UMNO berlakuan seperti permainan ‘abang-adik’. Hakikat sebenar tidak macam itu. Kes Memali sebagai buktinya. Mempertahan tanah di Muasasah Darul Ulum oleh ahli-ahli PAS yang hendak dirampas oleh UMNO juga menjadi dalilnya yang UMNO bukan abang dan PAS bukan adiknya.


MB Kedah gagal menunjukkan pendirian beliau sebenar dalam konteks kerjasama UMNO-PAS, yang mana ahli-ahli di bawahnya menentang keras sebarang bentuk kerjasama dengan UMNO, tetapi beliau asyik menjual idea UMNO-PAS adik-beradik, tidak perlu berkelahi untuk merebut sesuatu. Oleh sebab itulah di negeri Kedah tidak ada sebarang pembaruan yang dilakukan olehnya baik dari segi pengurusan masjid, memperbanyakkan aktiviti-aktiviti agama, pendidikan, sosial, ekonomi dan kebajikan rakyat.


Kedah macam dulu juga, ketika UMNO memerintah. PAS Kedah tidak berani dan penakut untuk membuat pembaruan, walaupun rakyat telah memberi mandat dan kuasa melalui PRU lalu. Ia masih lagi mengekalkan orang lama menguruskan GCL milik kerajaan negeri dan dalam organisasi tertentu. Sekiranya PAS gagal mempertahankan kuasa pada PRU ke-13 nanti, maka tidak ada satu mercu tanda yang boleh dibanggakan oleh ahli-ahli menandakan bahawa PAS pernah memerintah Kedah 2008 – 2012.


Kesimpulannya, saya berkesempatan menulis 4 siri memberi analisis mengenai kerja-kerja kotor yang selama ini dilakukan oleh UMNO. UMNO senantisa mengamalkan dasar British ‘pecah dan perintah’ agar ia kekal berkuasa. Dalam kamus perjuangannya tidak ada kejujuran dan keikhlasan. UMNO berpegang kepada falsafah siapa kuat, dialah yang berkuasa. Undang-undang rimba akan digunapakai sekiranya ia tersepit dan ketika ia hendak menyelamatkan diri. UMNO akan menggunakan apa sahaja platform yang ada untuk meneruskan survival politiknya, hatta terpaksa mengorbankan kawan sendiri. Perjuangan UMNO matlamat menghalalkan cara.


Dalam konteks isu perpaduan ini pun ia merupakan helah UMNO untuk mendinginkan suasana politik negara yang dihangatkan oleh Anwar Ibrahim melalui PKR. Anwar mahu menubuhkan kerajaan PR mengantikan kerajaan UMNO yang sudah usang dan lapok. Sekiranya UMNO itu benar-benar jujur dan ikhlas untuk bersatu demi kepentingan bangsa dan agama, pastinya UMNO akan lakukannya ketika ia menang besar pada PRU tahun 2004 lalu. Tetapi, kemenangan besar yang ia kecapi itu membuatkan UMNO merasa besar kepala, angoh dan sombong. Ketika tahun 2004, UMNO perlu insaf kerana pada PRU ke-10 tahun 1999, ia mengalami kekalahan besar juga ditolak oleh majoriti umat Melayu kerana cara UMNO menguruskan masalah Anwar ketka itu menimbulkan kemarahan orang-orang Melayu, tetapi ia masih dapat mengekalkan majoriti 2/3nya kerana ia mendapat sokongan padu daripada kaum Cina dan India.


UMNO telah melakukan berbagai perkara yang melukakan hati rakyat. Kezaliman demi kezaliman ia lakukan terhadap rakyat yang di luar golongan UMNO khususnya kerajaan dan rakyat di negeri Kelantan. Apa yang UMNO tidak lakukan terhadap kerajaan negeri Kelantan yang diperintah oleh PAS?
Semua tindakan zalim dilakukannya untuk merampas balik Kelantan daripada tangan PAS. Berbillion ringgit dihabiskan untuk mengambil balik Kelantan, tetapi Allah s.w.t maha agong. Dengan keringat dan lenangan air mata berserta dengan pertolongan daripada Allah s.w.t, Kelantan tetap kekal di bawah perintahan PAS.


Kelakuan dan sifat yang ada pada UMNO hari ini boleh dibuat satu analogi begini : Sifat semula jadi seseorang manusia ialah mudah lupa. Ketika ia berada dalam keadaan sihat walafiat dan berada dalam kedudukan kemewahan, ia mudah lupa diri dan lupa kepada Allah s.w.t yang memberi niktamat itu kepadanya. Tetapi, apabila ia jatuh sakit dan berada dalam kesusahan, ia mula mengenangkan kekuasaan Allah s.w.t.


Harapan saya, semoga tulisan ini sedekit sebanyak mengandungi ilmu pengetahuan yang boleh dikongsi bersama. InsayaAllah.


Ada banyak bahan yang boleh dijadikan pengetahuan dan hiburan diblog saya satu lagi: http://demang.blogmas.com/


“SELAMATKAN RAKYAT DAN SELAMATKAN NEGARA”
“PROTES SAMPAI TURUN”


Wallahu'alam bishshawab.
Wassalamu ‘alaikum Wr.Wb.








2 comments:

Anonymous said...

well its nice to know that you have great hits here.

al-chechen said...

Tahniah tuan Tun Telanai...kempat empat siri ini telah berjaya membuka mata ahli ahli dan pemimpin PAS serta semua pendokong pakatan rakyat.

UMNO bukannya sebuah parti kebudak budakan. Ia terlalu mahir dan licik dengan segala macam tektik dan teknik tipu helah. Pemikir strateginya juga dari bekas pegawai tinggi ATM. Sekali lagi tahniah diucapkan kepada Tun Telanai.